ARTIKEL

Fatimah merakamkan gambar kenangan sempena Majlis Graduasi Latihan Kemahiran Vokasional Wanita Tahun 2026 di Dewan Wisma Wanita, di sini, hari ini.

14,646 peserta WST jana pendapatan melalui kemahiran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Latihan Kemahiran Wanita (WST) terus memberi impak kepada ekonomi golongan berkenaan apabila 14,646 peserta berjaya menjana pendapatan melalui kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh 2022 hingga 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian itu membuktikan latihan yang disediakan bukan sekadar memberi pengetahuan dan kemahiran, malah membuka peluang kepada peserta untuk meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Katanya, beliau difahamkan kira-kira 40,808 peserta telah mengikuti latihan WST sejak 2015 hingga Ogos 2026.

“Jadi, angka ini menunjukkan bahawa latihan yang diberikan bukan sahaja memberi pengetahuan dan kemahiran; ada yang datang mengikuti latihan ini dan ia bukan sekadar latihan suka-suka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Latihan Kemahiran Vokasional Wanita Tahun 2026 di Dewan Wisma Wanita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah menambah, Pusat WST turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh teras ekonomi wanita dengan menyediakan kemahiran yang boleh diterjemahkan secara langsung kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan penjanaan pendapatan.

“Pada masa ini, WST menyediakan latihan dalam empat bidang utama, iaitu jahitan, kecantikan, kulinari serta spa dan urutan.

“Kursus-kursus ini juga dipilih berdasarkan kemahiran yang mempunyai nilai pasaran dan boleh dijadikan asas kepada perniagaan serta sumber pendapatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa perkembangan Pusat Kemahiran dan Jahitan Komuniti (PKJK) kini meliputi tujuh lokasi, iaitu Kuching, Serian, Sarikei, Sibu, Bintulu, Limbang dan Dalat bagi memastikan lebih ramai wanita mendapat akses kepada latihan kemahiran.

Katanya, PKJK Kuching merupakan pusat pertama ditubuhkan, diikuti Sibu dan Bintulu pada 1 Mei 2019, Serian dan Sarikei pada 1 Julai 2019, Limbang pada 7 Jun 2022 serta Dalat pada 16 November 2022.

“Kita tidak mahu latihan hanya tertumpu di Kuching; kita mahu wanita di kawasan lain juga mendapat akses kepada latihan ini,” jelasnya.

Mengenai majlis tersebut, ia menyaksikan seramai 50 orang graduan diraikan dalam Majlis Graduasi WST 2026 anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).

Graduan yang diraikan terdiri daripada peserta empat aliran kursus, iaitu Jahitan, Kulinari, Kecantikan serta Spa dan Urut dari PKJK Kuching dan PKJK Serian.

Daripada jumlah tersebut, 25 orang graduan diiktiraf dalam kategori Cemerlang, iaitu mencapai kadar penyertaan WST 80 peratus dan ke atas serta mempunyai perniagaan yang kukuh, manakala 25 orang lagi dalam kategori Kepujian, iaitu mencapai kadar penyertaan 70 peratus dan ke atas serta sedang dalam usaha menjalankan perniagaan.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

Rampa menua, budaya Ulu Entabai pematak SIE

PEMANAH rampa menua, peneleba ngatur kem entukar besai ba tebing sungai sereta penyelai adat enggau budaya komuniti Iban nyadi pekara pematak raban program Sarawak Interior