148 terima Darjah Kebesaran Negeri Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud semalam menyampaikan pingat kepada 148 penerima di Dewan Besar, Astana Negeri di Petra Jaya.

Mendahului penerima ialah Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee, isteri bekas Setiausaha Negeri Datin Amar Saptuyah Suib, Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan Adun Kedup Marin Ben yang dianugerahkan Darjah Johan Bintang Sarawak.

Sementara itu, Adun Balingian Abdul Yakub Arbi dan ahli perniagaan Pang Kim Soo menerima Darjah Johan Bintang Kenyalang manakala Muhamad Yakup Kari dan Abdul Kadir @ Kadir Zainuddin menerima Pingat Johan Perkhidmatan Cemerlang.

Pingat Perkhidmatan Cemerlang pula dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Dr Azhar Ahmad serta Dr. Rashidah Bolhassan dan Joseph Belayong Punan.

Darjah Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) telah dikurniakan kepada empat orang penerima manakala Darjah Pegawai Bintang Kenyalang pula menyaksikan seramai 13 penerima.

Pingat Perkhidmatan Bakti dan Darjah Ahli Bintang Sarawak masing-masing menyaksikan 30 dan 25 penerima manakala 18 lagi penerima Darjah Ahli Bintang Kenyalang.

Pingat Perkhidmatan Terpuji menyaksikan 26 penerima sementara 21 lagi menerima Darjah Bentara Bintang Sarawak.

Hadir sama untuk menyaksikan majlis itu ialah isteri Tun Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, mantan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan beberapa pemimpin tempatan lain.

Suara Sarawak