15 doktor pakar sertai Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Belawai  

TANJUNG MANIS: Seramai 15 doktor pakar mengambil bahagian dalam program pemeriksaan kesihatan di Dewan Masyarakat Belawai, pada 5 Oktober ini.

Penyertaan paling ramai doktor pakar itu merupakan peluang terbaik kepada penduduk daerah ini untuk menjalani pemeriksaan sambil mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kesihatan secara percuma.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, mereka terdiri daripada doktor pakar mata, telinga, hidung, tekak, tulang, kanak-kanak, perempuan, bedah, pakar kesihatan dan pemakanan.

Katanya, program khidmat masyarakat itu dianjurkan Pusat Khidmat P.206 Tanjung Manis dengan kerjasama Kelab Lions Seduan Sibu, Rajang Specialist Hospital, PBB Kampung Belawai dan KMKK kampung Belawai.

“Penganjuran aktiviti ini bertujuan menyemai kesedaran penduduk terhadap penjagaan kesihatan selain meningkatkan kualiti hidup mereka. Saya menjangkakan program ini mampu menarik kehadiran lebih 400 penduduk dari sekitar daerah ini, ” katanya kepada media.

Beliau berkata, sepanjang program penduduk menjalani pemeriksaan fizikal, ujian darah, pemeriksaan mata dan tekak, pemeriksaan kandungan kolestrol dan gula dalam badan yang dikendalikan doktor pakar dan kakitangan perubatan.

Penganjuran program itu katanya, merupakan salah satu inisiatif penganjur untuk memastikan rakyat mempunyai akses kesihatan yang terbaik.

“Selain menyedarkan masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan, aktiviti ini juga meringankan beban penduduk kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau memberitahu, selain pemeriksaan kesihatan, penganjur juga menyediakan 300 cermin mata percuma untuk mereka yang layak.

Suara Sarawak