15 maut dalam tempoh 15 hari

SIBU: Seramai 15 pengguna jalan raya di Sarawak maut sepanjang Op Selamat 15 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2019 berlangsung selama 15 hari mulai 29 Mei hingga 12 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak Superintenden Alexson Anak Chabu berkata, jumlah kematian itu direkodkan daripada 13 kes kemalangan maut yang direkodkan sepanjang tempoh operasi berkenaan tahun ini.

Menurutnya, kebanyakan pengguna jalan raya maut terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal iaitu berjumlah lapan orang, diikuti pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda manakala dua pemandu kereta dan masing-masing seorang pemandu lori dan pejalan kaki.

Beliau berkata, jumlah kematian sepanjang Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini mencatatkan pertambahan lima kematian berbanding hanya 10 kematian pada operasi serupa tahun 2018.

Katanya, turut mencatatkan peningkatan ialah jumlah kes kemalangan maut iaitu daripada 10 kes pada operasi sama tahun kepada 13 kes tahun ini.

“Op Selamat 15 ini kerana kelalaian pemandu kenderaan sendiri yang gagal mengawal kenderaan dengan baik semasa memandu sehingga terbabas sendiri.

“Kecuaian memotong kenderaan lain dalam keadaan tidak selamat juga menjadi punca kemalangan.

“Faktor jalan raya seperti jalan berlubang dan selekoh tajam bahaya juga menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya”,katanya dalam siaran media yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kemalangan raya direkod sepanjang Op Selamat 15 ialah sebanyak 751 kes iaitu mencatatkan peningkatan sebanyak 71 kes berbanding hanya 680 kes pada operasi sama tahun 2018.

Manakala dari segi jenis kenderaan yang paling banyak terlibat kemalangan ialah motokar, sebanyak 798 buah, diikuti kenderaan pacuan empat roda (221 buah), motosikal (83 buah), lori (34 buah), van (25 buah), lain-lain kenderaan (23 buah), basikal (2 buah), bas ( 1 buah) dan teksi (1 buah).

Menurutnya, sebanyak 14,287 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas telah dikeluarkan sepanjang tempoh operasi berkenaan tahun ini dan sebanyak 842 laporan balik kampung diterima PDRM Kontingen Sarawak melalui aplikasi VSP, Hotline 999 serta borang yang dihantar ke balai-balai polis berhampiran di negeri ini.

Gambar fail