KUCHING: Sebanyak 15 buah badan bukan kerajaan (NGO) menerima sumbangan dana berjumlah RM118,000 daripada Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni.
Dana terbabit diserahkan sendiri oleh beliau yang juga Adun Demak Laut dalam majlis ringkas yang berlangsung di di Tingkat 3, Bangunan Baitul Makmur, Medan Raya, semalam.
Menurutnya, sumbangan terbabit merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan DUN Demak Laut bagi membantu NGO menjalankan aktiviti tahunan yang telah dirancang.

“Diharap para penerima menggunakan dana ini dengan sebaik mungkin bagi memberi manfaat kepada setiap ahlinya, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Antara penerima sumbangan ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Chung Hua, Persatuan Guru-Guru Al-Quran, Kelab ZDance Kuching, Tabung Kebajikan dan Sosial Pejabat Daerah Kuching, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF), Kumpulan Zikir dan Hadrah An-Nur dan Kolej Matrikulasi Sarawak.
Turut menerima Kelab Sosial Kakitangan SABERKAS (Negeri), Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan, Kelab Muaythai SS Fighters Petra Jaya, Kumpulan Zikir Rohairi, Persatuan Kumpulan Zikir Suara Bakti, Kesatuan Pembantu Makmal (Pelajaran) Negeri Sarawak, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara dan Kelab Institusi Kakitangan Kebajikan Taman Seri Putri Kuching.