KUCHING: Seramai 15 pengamal media Sarawak memulakan ekspedisi menawan puncak Gunung Kinabalu hari ini bersempena sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.
Pengamal media ini terdiri daripada Suara Sarawak, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Radio Televisyen Malaysia (RTM), TVS, Astro Awani, Utusan Borneo, Utusan Sarawak dan DayakDaily.
Rombongan ke negeri di bawah bayu itu diketuai Presiden Persatuan Penulis Bahagian Kuching (KDJA), Ronny Teo berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) menuju Kota Kinabalu, Sabah.
Ronny berkata, tahun ini merupakan tahun yang ketiga KDJA menganjurkan program mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara tersebut.
Katanya, setibanya di Kota Kinabalu petang ini, rombongan akan bermalam di Taman Negara Kinabalu sebelum memulakan pendakian pada keesokkan hari.
“Mereka akan memulakan misi mendaki pagi esok hingga ke Laban Rata yang mengambil masa sekitar 4-5 jam dan bermalam di sana.
“Rombongan akan meneruskan pendakian ke puncak Kinabalu pada jam 2 pagi dan dijangka tiba sekitar jam 6 hingga 7 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ronnie berkata, penganjuran program seumpama ini sebagai menyahut cabaran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menguatkan lagi mental dan fizikal dalam kalangan pengamal media.
Katanya, selain mendaki Gunung Kinabalu aktiviti lain yang turut diadakan kepada ahli KDJA sebelum ini ialah seminar dan penyesuaian media di Pontianak.
Turut menghantar rombongan berkenaan sebelum berlepas adalah Penasihat KDJA, Jacquelin Atiqah David.
Sementara itu, wartawan Suara Sarawak Ekkamiezza Kamil antara rombongan yang menyertai ekspedisi itu berkata, beliau telah membuat latihan bagi menguatkan stamina selama dua bulan sebelum pendakian.
Selain itu, katanya, beliau juga membuat senaman dan mendaki bukit dan gunung seminggu sekali sebagai persiapan.
“Sudah tentu saya berasa teruja mendaki Gunung Kinabalu, saya berharap persiapan saya selama ini berbaloi dan kami semua berjaya sampai ke puncak gunung,” ujarnya.
Untuk rekod, KDJA mempunyai seramai 200 ahli yang terdiri daripada pengamal media cetak dan elektronik di Bahagian Kuching.