15 peserta tamat Bengkel Pembangunan Kejurulatihan Futsal

BINTULU: Sejumlah 15 peserta menamatkan dengan jayanya Bengkel Pembangunan Kejurulatihan Futsal yang berakhir Ahad lalu di Kelab Kidurong Bintulu.

Program dua hari anjuran Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai dan Persatuan Bolasepak Bahagian Bintulu (BIFA) itu dikendalikan oleh bekas Jurulatih Futsal Wanita Kebangsaan yang juga bekas Kapten pasukan futsal lelaki kebangsaan, Addie Azwan Zainal dengan dibantu oleh Alistair Edmund.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Futsal Dan Bolasepak Pantai BiFA selaku penyelaras program Mohamad Fadzillah Ismail berkata bengkel itu antara lain bertujuan untuk mendedahkan jurulatih kepada sistem latihan dan sistem permainan yang lebih efisien dan kepelbagaian pilihan sistem permainan dan latihan.

Selain itu, katanya, penganjuran bengkel itu juga memperlengkapkan para jurulatih tentang ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran kejurulatihan permainan sukan futsal.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu pihaknya merangka untuk menganjurkan klinik kejurulatihan penjaga gol, klinik pembangunan futsal di sekolah-sekolah dan juga bengkel Kejurulatihan Futsal Siri 2 di masa akan datang.

Sementara itu, presiden BIFA, Mohd Zulfadillah Junaidi dalam ucapan penutupannya, memberitahu sukan futsal semakin berkembang khasnya di Bahagian Bintulu.

Ini, katanya, berdasarkan pelbagai pencapaian pasukan futsal dari Bintulu yang menjuarai beberapa kejohanan futsal berskala besar.

Justeru, katanya, penganjuran bengkel kejurulatihan amat bertepatan dalam melahirkan lebih ramai pemain terutama dari bahagian Bintulu.

UNTUK ALBUM… Mohd ZULFADILLAH merakamkan gambar bersama peserta Bengkel Pembangunan Kejurulatihan Futsal anjuran Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai dan BIFA.