
KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menempatkan sekurang-kurangnya 1,500 guru di Sarawak menjelang Mac depan bagi mengatasi masalah kekurangan guru di negeri ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin kerana isu kekurangan guru bukan sahaja berlaku di Sarawak, malah turut terjadi kepada negeri lain di Malaysia.
Dianggarkan, Sarawak berdepan masalah kekurangan guru yang mencecah sehingga 3,000 orang setakat ini.
“KPM akan cuba menyelesaikan masalah kekurangan guru di negeri ini dalam 50 peratus dahulu sebelum sesi persekolahan baharu bermula kelak.
“Sebenarnya, isu penempatan guru ini bukan hanya berlaku di Sarawak, terdapat juga negeri-negeri lain yang harus kita penuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Kasih Anak Terkesan Covid-19 Sarawak di SMK Batu Kawa, di sini, hari ini.
Tegasnya, isu kekurangan guru, kemudahan infrastruktur dan sekolah daif di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan KPM dan pihaknya komited untuk menyelesaikan isu-isu tersebut sebelum sesi persekolahan baharu yang bakal bermula pada 21 Mac 2023.
Sementara ditanya adakah polisi nisbah 90:10 anak tempatan dengan negeri lain menyebabkan Sarawak berdepan masalah kekurangan tersebut, Fadhlina menafikannya.
“Memang polisi tersebut masih digunakan, tetapi saya tidak fikir ia menganggu usaha untuk menempatkan guru-guru di negeri ini,” jelasnya.
Untuk rekod, Sarawak menghadapi kekurangan sekitar 3,000 guru sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia termasuk guru beberapa mata pelajaran tertentu walaupun sudah melebihi sasaran nisbah 90:10 guru tempatan.