150,000 anjing peliharaan telah disuntik vaksin rabies

KUCHING: Sebanyak 150,000 atau 65 peratus daripada anggaran keseluruhan anjing peliharaan di Sarawak telah diberikan suntikan rabies secara percuma oleh kerajaan negeri sehingga kini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kesemua 150,000 anjing peliharaan itu kini perlu dipastikan pemiliknya diberikan suntikan semula vaksin itu setiap 12 bulan.

“Kos setiap suntikan (ditanggung kerajaan Sarawak) ialah RM2. Kami akan terus memberikan ini setiap tahun, sehingga Sarawak diistiharkan sebagai bebas rabies,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Rabies Sedunia 2019 dan Program Kesedaran Pendidikan dan Kesihatan di sini, semalam.

Uggah berkata selain anjing, lebih 10,000 kucing juga telah diberi suntikan vaksin itu berikutan terdapat kira-kira 100 kes rabies dikenal pasti dibawa haiwan berkenaan.

Katanya kerajaan Sarawak juga kini dalam fasa terakhir menjalankan operasi khas memastikan anjing peliharaan diberi suntikan vaksin rabies dari rumah ke rumah dan menghapuskan anjing liar berkeliaran sepanjang jalan bersama pasukan tentera dan polis.

“Kami meminta orang ramai jangan khuatir dengan penyertaan pasukan tentera dan polis dalam operasi khas ini kerana mereka tidak terbabit menembak anjing liar, tetapi hanya bagi menjaga keselamatan sahaja,” katanya.

Beliau berkata operasi khas dari bahagian ke bahagian negeri telah bermula sejak 1 Mac lepas dan setakat ini kerajaan Sarawak sudah membelanjakan RM9 juta bagi menjalankan operasi itu dengan sokongan kerajaan pusat.

Katanya selepas ini sebahagian program pemberian suntikan vaksin rabies dan penghapusan anjing liar akan difokuskan ke kawasan sempadan negeri supaya memastikan wabak terbabit tidak merebak ke Brunei dan Sabah.

“Salah satu cara bagi kita bekerjasama ialah bertukar data (maklumat) dengan Brunei dan Sabah. Sabah akan turut menghantar sebahagian pegawai veterinar ke sini (Sarawak) dan Brunei lebih kepada perkongsian maklumat serta memastikan sempadan kita dilindungi,”katanya.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu, Douglas berkata kerajaan negeri mensasarkan Sarawak bebas rabies pada 2025, dan bebas kematian manusia akibat rabies pada 2021. – Bernama