16 barangan kawalan sempena Tahun Baharu Cina

KUCHING: Sebanyak 16 jenis barang disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 yang dikuatkuasakan selama 14 hari bermula 8 hingga 16 Februari ini di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan berkenaan yang akan disambut pada 12 Februari ini.

“Walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP), namun permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat.

“Selain itu, skim ini juga secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media pengumuman SHMMP menerusi siaran langsung di Facebook KPDNHEP, hari ini.

Antara barangan keperluan yang disenaraikan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Kapit, skim tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, tindakan tegas akan diambil.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

“Kesalahan sama bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” ujarnya.

Jelasnya lagi, sementara kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat.