KUCHING: Kempen Liga Bola Sepak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Bawah 20 Tahun 2022 akan bermula Ahad ini.
Ia bakal menghimpunkan 16 pasukan handalan, mewakili 12 pasukan bahagian seperti Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman (Zon Selatan); empat pasukan dari bahagian Betong, Sarikei, Sibu dan Kapit (Zon Tengah) dan empat lagi pasukan dari Miri, Bintulu, Sibu dan Mukah (Zon Utara).
Selain itu, empat lagi pasukan mewakili Pusat Cemerlang SSC (PC SSC) iaitu Samarahan, Kapit, Mukah dan Bintulu.
Pengerusi Pengelola, Ahmad Rodzli Hashim memberitahu, Sri Aman dan Samarahan akan turun untuk aksi buka tirai pada Ahad ini bagi merebut Piala Sumbangsih.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu akan berlangsung di Stadium negeri, Petra Jaya bermula jam 4:15 petang.
“Format kejohanan adalah liga kumpulan, perlawanan dijalankan secara timbal balik. Dua pasukan terbaik setiap zon layak ke pusingan akhir,” ujar Ahmad Rodzli kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam masa yang sama beliau menyatakan pusingan akhir nanti wkan membabitkan lapan pasukan yang akan disertai dua pasukan belia dari negara jiran iaitu Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia.
“Kedua-dua pasukan dari negara jiran itu (Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat) akan beraksi bersama dua pasukan terbaik yang berjaya melepasi peringkat zon masing-masing,” tambah Ahmad Rodzli lagi.