
KUCHING: Pusingan akhir Kejohanan Futsal Terbuka Piala Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat 2022 akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Menghimpunkan 16 pasukan terbaik dari tiga zon berbeza. Enam pasukan dari Zon Bukit Saban iaitu Matrizz United, Ramak Pang, Nafas, Debak United, Evolution FT dan Fighter Team.
Manakala, lima pasukan terbaik dari Zon Layar termasuk Dahlia FT, Sharks FT, Loy69 Manggut, Gurah B dan Jang BS.
Disamping lima lagi pasukan dari Zon Saribas iaitu Kasma KTT, Lestary FT, Loy69 2 Manggut, Naila FT dan KSRB U21.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini berkata, saingan pusingan akhir itu akan berlangsung di Arena Jang BS, Spaoh.
Menurutnya, format kejohanan liga kumpulan pada pusingan awal dan diikuti kalah mati bagi pasukan yang berjaya mara ke pusingan seterusnya.
“Kesemua 16 pasukan terbabit akan dibahagi kepada empat kumpulan. Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak secara automatik ke suku akhir,” ujarnya yang ditemui selesai mempengerusikan mesyuarat bersama Exco BDFA.
Beliau dalam pada itu berkata pihaknya menjangka berlaku pertembungan sengit sepanjang dua hari saingan peringkat akhir tersebut kerana semua pasukan yang berentap merupakan terbaik dari setiap zon.
Sambil menyeru peminat di sekitar Bahagian Betong untuk hadir beramai-ramai bagi menyaksikan perlawanan yang akan dilangsungkan.
