KOTA KINABALU: Sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) tanpa kebenaran, semalam.
Penerbangan mencurigakan itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi.
Jurucakap Bahagian Perhubungan Awam TUDM yang mengesahkan insiden berkata kesemua pesawat itu didapati terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain pada laluan yang sama sebelum mengubah arah di ruang udara Beting Patinggi Ali.
Menurutnya tindakan tersebut merupakan insiden yang serius terhadap ancaman kedaulatan dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan KK FIR.
“TUDM telah meletakkan Pesawat Hawk 208 daripada No.6 Skuadron di pangkalan udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Op Curiga.
“Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan mengarahkan mereka untuk menghubungi kawalan trafik udara KK FIR,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pesawat-pesawat pemintas turut dilancarkan pada jam 1.33 tengah hari bagi melakukan identifikasi visual.
Dedahnya hasil pemintasan udara yang dilaksanakan telah mengenal pasti pesawat-pesawat terbabit adalah jenis Ilyushin II-76 dan pesawat Xian Y-20 yang merupakan pesawat jenis pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.
Terdahulu pesawat-pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.