Trending

161 peserta berentap dalam Debat Premier Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Foto UiTM

KOTA SAMARAHAN: Seramai 161 peserta dari 17 sekolah menengah dan 12 institusi pengajian tinggi berentap dalam saingan Debat Premier Sarawak 2023 bermula 17 September lalu.

Acara julung kali diadakan itu menyaksikan peringkat awal dan separuh akhir kejohanan akan berlangsung sehingga 21 September di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus 2 Samarahan.

Manakala pusingan akhir dijangka berlangsung di Kompleks Zon atau Muzium Budaya Borneo pada November depan.

UiTM dalam satu kenyataan berkata, kejohanan itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, UiTM Cawangan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

“Debat Premier 2023 merupakan platform dinamik untuk pelajar mengasah kemahiran berdebat, merangsang pemikiran kritis, memupuk semangat berpasukan, menyuntik bakat serta membina kefahaman terhadap isu semasa.
“Ia juga bertujuan mempersiapkan diri pelajar dengan penguasaan ilmu dalam bidang perdebatan bukan sahaja untuk mara ke peringkat kebangsaaan bahkan ke persada antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.

Debat Premier Sarawak 2023 terbahagi kepada dua kategori iaitu sekolah (Kategori A) yang terbuka kepada pelajar berumur 14 hingga 18 tahun bagi semua sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa di Sarawak.

Bagi Kategori B pula, penyertaan terbuka kepada semua institut pengajian tinggi di Sarawak termasuk pelajar tingkatan enam, pengajian asasi, diploma, sarjana muda dan pascasiswazah.

Kejohanan mengenakan syarat pertandingan menggunakan format Parlimen British (PB) yang juga dikenali sebagai format dunia, direka untuk perbahasan di peringkat universiti dan diterima pakai dalam pertandingan di peringkat sekolah.
Format PB menggunakan konfigurasi sistem dua lawan dua yang berbeza dengan format Parlimen Asia dan Sekolah Dunia yang menggunakan sistem tiga lawan tiga.

Kejohanan bakal menyaksikan setiap pusingan mempunyai empat pasukan terdiri daripada dua pendebat. Setiap pendebat mempunyai tujuh minit untuk membentangkan hujah dan masa persediaan 15 minit selepas usul dikeluarkan.

Kejohanan Debat Premier Sarawak 2023 bakal melakar sejarah dengan memperlihatkan kehebatan intelektual pendebat di samping membuktikan dedikasi institusi pendidikan Sarawak dalam mengetengahkan idea generasi muda tentang isu-isu terkini.

Usaha sama antara MEITD, UiTM Cawangan Sarawak, JPN dan DBP Cawangan Sarawak, sekali gus mempromosikan kecemerlangan pendidikan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dalam pembangunan intelektual pelajar di Sarawak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru