KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak merekodkan sebanyak 168 kes kebakaran terbuka di negeri ini, sejak Januari hingga 17 April.
Pengarahnya, Datuk Khirudin Drahman berkata, kes tertinggi direkodkan membabitkan kebakaran belukar, lalang dan rumput iaitu sebanyak 92 kes.
Diikuti dengan kebakaran sampah iaitu sebanyak 62 kes dan kebakaran hutan sebanyak lapan kes.
Manakala katanya, kebakaran membabitkan ladang dan kebun serta lain-lain kebakaran (kayu) mencatatkan tiga kes dan hanya satu kes membabitkan kebakaran gambut.
“Zon 6 Miri mencatatkan kes kebakaran terbuka yang tertinggi iaitu sebanyak 54 kes.
“Ini diikuti dengan Zon 4 Sibu (35), Zon 1 Kuching (32), Zon 5 Bintulu (28), Zon 2 Samarahan (12), Zon 7 Limbang (empat) dan Zon 3 Sri Aman (tiga),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan cuaca panas dan kering kebelakangan ini, Khirudin mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati dalam melakukan pembakaran terbuka atau kaedah tebas dan bakar untuk tujuan pertanian.
Justeru, beliau berharap semua kegiatan pembakaran diawasi dan dipantau bagi mengelakkan api merebak secara tidak terkawal hingga boleh mendatangkan bahaya kepada kediaman terdekat.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bomba Sarawak bersama-sama agensi yang berkaitan akan terus menjalankan pemantauan berkaitan kebakaran terbuka di negeri ini.