169 hasil tani untuk petugas di PPV Dinner World Bintulu

BINTULU: Sebanyak 169 bungkus hasil tani disumbangkan kepada petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dinner World Bintulu melalui program sumbangan Peladang Prihatin Sarawak.

Sumbangan menerusi Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu dan Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) Bintulu itu adalah sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan  terhadap pengorbanan dan usaha berterusan mengekang penularan wabak Covid-19.

Penyerahan sumbangan  disampaikan oleh Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Anggang Jimbun kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang.

Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing turut hadir menyaksikan simbolik penyerahan tersebut.

Agihan hasil tani itu akan diserahkan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertugas menjayakan program Imunisasi Kebangsaan Covid-19(PICK) di PPV Dinner World.

Anggang menyerahkan sumbangan berupa hasil tani kepada Dr Melvin sambil disaksikan Tiong.

Sumbangan yang sama turut diagihkan kepada petugas dan sukarelawan di PPV Pusat Sukan BDA Kidurong dan PPV Balairaya Sebauh, masing-masing pada Isnin dan Selasa lalu.

Sumbangan serupa juga akan diserahkan ke PPV Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dan PPV Dewan Sukan Tatau dalam masa terdekat.

Program  Peladang Prihatin Sarawak merupakan salah satu aktiviti di bawah komponen Program Pembelian Dan Pengedaran Hasil Tani oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan dikendalikan Jabatan Pertanian Sarawak menggunakan dana daripada Kerajaan Sarawak.

Program Pembelian Dan Pengedaran Hasil Tani oleh PPK ini telah dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak sejak tahun 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Melalui program ini, PPK membeli hasil tani atau produk daripada petani dan diagihkan kepada petugas barisan hadapan di PPV secara percuma.

Kaedah ini juga membantu petani yang tidak dapat menjual hasil tani pada musim pandemik dengan membeli daripada mereka di samping membantu meningkatkan pendapatan golongan petani.

Suara Sarawak