17 individu ditangkap dalam ‘Ops Dadu’ PDRM

KUCHING: Seramai 17 individu termasuk empat warga Indonesia ditangkap terlibat dalam perjudian dalam talian serta judi secara terbuka.

Kesemua suspek dicekup dalam 14 serbuan berasingan dalam tempoh 3 hingga 11 Mei oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa mendedahkan serbuan tersebut dijalankan di sekitar kawasan Gita, Bintawa dan Tabuan Jaya.

“Ops Dadu kali ini memfokuskan kawasan termasuk premis kedai kopi, rumah kediaman persendirian kaki lima dan bangunan komersial yang disyaki menjadi pusat kegiatan aktif perjudian secara haram.

“Hasilnya 17 suspek masing-masing berusia lingkungan 17 hingga 41 tahun berjaya ditahan susulan serbuan yang dijalankan dalam tempoh sembilan hari operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan suspek boleh diperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun.

Suara Sarawak