17 lelaki leka bersabung ayam diserbu polis

PADAWAN: Seramai 17 lelaki warga tempatan ditahan selepas sarang perjudian sabung ayam mereka yang terletak di sebuah pondok ladang sayur Kampung Batu Gong diserbu polis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Siperintendan Aidil Bolhassan berkata, serbuan sekitar jam 10 pagi itu hasil Ops Limau itu oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Padawan dan dibantu oleh beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan.

Menurutnya kesemua suspek berusia lingkungan 37 tahun sehingga 68 tahun itu bagaimanapun tidak menyedari kehadiran polis di lokasi akibat leka bermain judi sabung ayam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima ekor ayam sabung yang masih hidup dan dua ekor ayam mati.

“Turut dirampas dua bilah taji ayam, sebuah alat penimbang, sebuah meja kayu dan wang tunai pelbagai dominasi berjumlah RM39,740,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya salah seorang suspek iaitu penganjur perjudian tersebut yang turut ditahan didapati mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (3) ADB 1952 dan 15 (1) (a) ADB 1952.

Tegasnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Siburan dan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.