17 pengguna jalan raya disaman atas pelbagai kesalahan trafik

KUCHING: Seramai 17 pengguna jalan raya menerima padah setelah dikenakan saman trafik akibat memandu dalam pelbagai kesalahan trafik hasil Ops Mabuk di Jalan Simpang Tiga, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, operasi melibatkan seramai 12 anggota sepasukan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 8.30 malam.

Menurutnya, ia pada dasarnya dilakukan bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol.

“Hasil operasi berjaya memberkas seorang pemandu warga tempatan, 40, yang disahkan positif alkohol setelah ujian mesin Evidential Breath Analyzer(EBA) mendapati kandungan alkohol suspek melebihi 126 miligram (mg)/ 100 mg.

“Saman trafik turut dikeluarkan terhadap 17 pengguna jalan raya di bawah kesalahan tiada lesen memandu, gagal mengemukakan lesen, nombor plat mewah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, dan hon kenderaan tidak berfungsi,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

BERCAKAP… Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa

Dedahnya, kesemua tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan,” tegasnya.

Susulan itu, katanya, sebanyak 44 buah kenderaan dan 63 orang individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

Tambahnya, turut ditahan seorang lelaki warga asing, 22, kerana didapati tinggal lebih masa iaitu tamat tempoh hasil operasi sama.

Dalam pada itu, Merbin turut mendedahkan bahawa operasi tersebut akan dilaksanakan secara berterusan demi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya di samping menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya untuk memastikan jalan raya bebas dari kemalangan disebabkan kecuaian atau kesalahan terutamanya pemandu mabuk di bawah pengaruh alkohol,” tegasnya.

Suara Sarawak