Tiga bulan tinggalkan anak dan isteri

SAINGAN Liga Malaysia musim 2021 cukup mencabar bagi para pemain dan pegawai pasukan Kuching City FC (KCFC).

Ini kerana mereka akan ‘berkampung’ di Semenanjung dan Sabah sekitar dua hingga tiga bulan, bermula semalam.

Ekoran pandemik Covid-19 yang belum reda, KCFC akan menggunakan Stadium Likas di Sabah sebagai gelanggang utama.

Namun sebelum itu, mereka akan ‘berkampung’ di Semenanjung terlebih dahulu, untuk mengharungi tiga hingga empat aksi sebelum berpindah ke Sabah.

Bagi ketua pasukan, Joseph Kallang Tie, saingan musim ini, merupakan pengalaman baharu kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang lama.

“Kami perlu banyak bersabar. Biasanya pemain akan berjauhan dengan keluarga tiga hari sahaja, atau paling lama pun seminggu.

“Namun kali ini lain daripada yang lain… kami terpaksa berjauhan dengan keluarga sekitar dua bulan atau lebih,” ujar Joseph.

Namun bagi bekas pemain Malaysia itu, mereka tetap fokus demi tugas, dan demi nama Kuching City dan Sarawak amnya.

Namun, bagi tonggak pertahanan, Hairol Mokhtar, ia hanya bersifat sementara dan perlu dihadapi pemain.

“Kami harus menerimanya sebagai satu cabaran… namun bagi saya, ia tidak akan mengganggu fokus terhadap tugas dan tanggungjawab,” ujar bekas bintang utama skuad DBKU itu.

Bagi pemain tengah, Rafiezan Razali, ia merupakan pengalaman baharu yang harus ditempuhi.

“Sebelum ini kami pernah beraksi di Semenanjung, namun tidak lama.

“Namun kami harus positif dengan situasi baharu ini,” kata Rafiezan.

Anggota skuad KCFC berangkat ke Semenanjung secara dua peringkat, mulai semalam dan hari ini. Mereka akan
menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Rabu depan (10 Mac).

Suara Sarawak