SIMUNJAN: Seramai 18 individu di daerah Asajaya dan Simunjan menerima sumbangan menerusi program ‘Nyengok Kabar’ anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak.
Pengarahnya Datuk Hasnul Mohamed berkata, kesemua penerima yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit, dan individu terlantar itu telah berdaftar menerusi e-kasih.
“Kesemua penerima ini telah berdaftar di dalam pangkalan data e-kasih sebelum disaring bagi melihat siapa yang lebih memerlukan.
“Antara sumbangan yang kita bagi merupakan katil, susu, minuman khas, kerusi roda dan pelbagai lagi bantuan bagi membantu mereka menjalani kehidupan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menyerahkan sumbangan barang keperluan di Masjid Al-Ansari di Simunjan, hari ini.
Sementara itu, beliau menyatakan bahawa Program Nyengok Kabar anjuran bersama rakan strategik Bank Islam itu telah berlangsung selama dua hari (23 dan 24 Disember).
“Dalam tempoh dua hari ini, kita menyantuni seramai 18 orang penerima, yang melibatkan 11 penerima pada hari pertama program, dan hari ini tujuh penerima pada hari ini di daerah Simunjan,” tambahnya.
Mengenai program ‘Nyengok Kabar’, Hasnul menjelaskan program tersebut bukan kali pertama diadakan dan ia merupakan penjenamaan semula bagi program ‘Jom Agih’ yang telah dilaksanakan di daerah Daro, Matu, dan Sibu, November lalu.
Katanya, program tersebut sememangnya berlandaskan tema ‘Keluarga Malaysia’ iaitu penamaan program adalah mengikut loghat sesebuah daerah yang akan disantuni.
“Istilah Keluarga Malaysia bukan sahaja dari segi latar belakang, namun tidak memilih agensi untuk kita sama-sama berganding bahu menjayakan program anjuran bersama,” ujarnya.
