18 kenderaan mewah dirampas, tidak bayar duti import

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas sebanyak 18 buah kenderaan mewah di negeri ini, yang dipercayai tidak dibayar duti import.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azimah Abd Hamid, kereta dari pelbagai jenama seperti Ferrari, Aston Martin, Bentley dan Lamborghini itu dibeli dari Brunei Darusalam, dengan anggaran nilai berjumlah lebih RM4.7 juta dan jumlah duti membabitkan RM8.15 juta.

Katanya, rampasan itu dibuat dalam operasi khas yang dijalankan dari 9 hingga 12 Julai lalu, bagi membanteras penyalahgunaan kemudahan dan penyeludupan kenderaan asing ke Sarawak.

“Kenderaan-kenderaan ini didapati berada di Sarawak melebihi tempoh dibenarkan iaitu hanya tiga bulan sahaja,” katanya sambil menambah semua pemilik kenderaan berkenaan dikenakan bayaran jaminan RM5,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak, di sini hari ini dan turut dihadiri Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha.

Mengikut Butiran 13, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, pengecualian hanya diberikan kepada warga asing ataupun warganegara Malaysia berstatus penduduk tetap (PR) atau memiliki permit kerja sah di negara asing dengan syarat kenderaan itu hanya dibenarkan berada di negara ini selama tiga bulan sahaja.

Azimah menunjukkan gambar kereta-kereta mewah yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak, di sini hari ini. Turut kelihatan Sharifah (kiri).

Suara Sarawak