183 batang kayu gergaji ditinggalkan di sempadan

KUCHING: Sebanyak 183 batang kayu gergaji pelbagai jenis ditinggalkan sindiket pembalakan haram di sebuah kawasan sempadan Malaysia-Indonesia Rabu lalu.

Longgokan kayu yang dijumpai pada jarak 200 meter dari kampung Danau Melikin itu disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri yang mengesahkan kejadian berkata kegiatan itu berjaya dikesan anggota peronda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika membuat rondaan batu sempadan sekitar jam 3 petang.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan kayu tersebut dianggarkan bernilai RM4,575.

“Hasil siasatan daripada Pejabat Hutan Wilayah Kuching pada Jumaat mengesahkan lokasi penemuan hasil barangan kegiatan pembalakan haram itu merupakan kawasan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya turut membanteras kemasukan cubaan empat pendatang asing tanpa izin (Pati) di laluan tikus berhampiran sektor Tebedu sekitar jam 9 malam semalam.

Dedahnya kesemua suspek ketika diperiksa merupakan warga Indonesia yang berasal dari Entikong.

Tambahnya, mereka pada awalnya memberikan alasan cuba masuk ke Sarawak untuk turun bekerja di Sibu.

Bagaimanapun katanya kesemua suspek telah diusir keluar semula setelah laporan polis dibuat di balai polis Tebedu.