186,512 orang naik bas

MIRI: Sejumlah 11 syarikat pengusaha bas henti-henti menerima dana keseluruhan RM5.6 juta setahun untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menangani kerugian dalam operasi harian.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) itu diperkenalkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2012.

“Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bas tetapi meningkatkan persepsi dan keyakinan penumpang bas terhadap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di Sarawak,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian DBSPB Negeri Sarawak bagi Tahun 2021-2022 bertempat di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.

Kim Shin menambah dalam usaha mencapai sistem perkhidmatan bas bertaraf dunia, penting bagi kerajaan menyokong syarikat pengusaha bas memastikan mereka dapat meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang.

“Ia juga bertujuan menangani kerugian operasi harian pengendali bas bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, menggalakkan pemuliha laluan yang telah ditamatkan perkhidmatan termasuk menambah kekerapan perjalanan,” jelasnya lagi.

Tambah Kim Shin, dana dilaksanakan Kerajaan Persekutuan merupakan pelengkap Program Tambang Bas RM1 yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak. “Kerajaan Sarawak melaksanakan Program Tambang Bas RM1 sehala di bawah Subsidi Pengangkutan Awam di Kuching, Miri dan Sibu.

“Program ini melibatkan 50 laluan di seluruh Sarawak membabitkan 18 laluan di Kuching, 18 di Sibu dan 14 di Miri. “Pelaksanaan program bermula Mei sehingga Disember 2020 dengan jumlah kumulatif pengguna bas henti-henti sebanyak 1.22 juta,” jelasnya.

Pada tempoh masa yang sama, sebanyak RM5.2 juta dibelanjakan untuk pembayaran subsidi kepada 12 syarikat bas. “Oleh kerana sambutan yang amat memberangsangkan daripada pengguna bas berhentihenti, program subsidi ini dilanjutkan oleh Kerajaan Sarawak pada tahun 2021.

“Jumlah pengguna bas berhenti-henti pada Januari 2021 seramai 186,512 yang melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM751,530,” tambahnya lagi.

Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif pengguna bas henti-henti bagi tempoh sembilan bulan mulai Mei 2020 sehingga Januari 2021 sebanyak 1.418 juta dan melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM5.99 juta.

“Dengan adanya keduadua subsidi ini, maka kerajaan berharap ia mampu mengurangkan beban kewangan rakyat yang bergantung pada perkhidmatan pengangkutan bas awam dan membantu mengurangkan kos operasi pengusaha bas henti-henti di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, perjanjian ini ditandatangani Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Razami Mohamad Jamali mewakili Kerajaan Persekutuan dan pengurus syarikat pengusaha bas henti-henti di negeri ini yang layak menerima dana.

Majlis ini disaksikan oleh oleh Kim Shin, Pengerusi LPKP Sarawak Ripin Lamat serta dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah LPKP, pegawai kanan Pejabat Residen Miri, JPJ, PDRM dan Kementerian Pengangkutan.

Suara Sarawak