19 pertubuhan di Daro terima geran MRP RM100,000

DARO: Sebanyak 19 pertubuhan menerima geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM100,000 daripada ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad, hari ini.

Penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Gereja, Surau dan Persatuan NGO.

Pada masa yang sama beliau turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif kepada seramai 55 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT.

Serentak itu, pihak Lembaga Amanah kebajikan Islam Daro (LAKMD) turut menyampaikan sumbangan insentif kepada pelajar berkenaan.

Sehubungan itu, Safiee berharap sumbangan insentif berkenaan dapat meringankan beban ibu bapa pelajar di samping menjadi pembakar semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.

Bantuan MRP pula katanya, perlu digunakan sebaik-baiknya oleh penerima supaya memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat.

“Dalam pada itu, saya mahu pertubuhan NGO di daerah ini lebih proaktif menganjurkan program sebagai usaha untuk mengeratkan perpaduan dan menarik penyertaan golongan muda bagi mengelak mereka terjebak aktiviti tidak sihat,” ujarnya.

Beliau berkata, NGO memainkan peranan aktif dalam memastikan hubungan antara kaum kekal harmoni dengan memperbanyakkan aktiviti kemasyarakatan dari semasa ke semasa.

“Pertubuhan sukarela harus bergerak aktif sesuai dengan matlamat untuk memperkasakan masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial,” ujarnya.

Safiee (tengah) mengabadikan kenangan selepas menyampaikan sumbangan MRP dan insentif kepada pelajar di Daro.

 

Antara mereka yang menerima sumbangan.

 

Penerima digesa memanfaatkan sumbangan untuk memajukan diri dan masyarakat.

Suara Sarawak