19 tahun goreng pisang

KUCHING: Selepas hampir 19 tahun membantu keluarga berniaga di hadapan rumah menjadi dorongan kepada Azreen Abdul Rahim untuk menjalankan perniagaan secara sepenuh masa.

Berusia 28 tahun, Azreen sebelum ini pernah bekerja sebagai budak pejabat berkata, keputusan untuk menjalankan perniagaan menjual pisang goreng dan ayam goreng dibuat kerana minat mendalamnya kepada bidang tersebut.

Menurutnya, ketika di bangku sekolah rendah, dia sudah mula membantu ayahnya berniaga pisang goreng dan ia secara tidak langsung mendorong minatnya untuk menerus perniagaan berkenaan.

“Saya bukan sahaja hendak meneruskan perniagaan ayah ini, tetapi disebabkan minat mendalam saya. Dari sekolah rendah lagi saya sudah membantu ayah berniaga,” katanya.

Perniagaan dijalankan di Kampung Tupong Ulu itu katanya, masih mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan kampung berdekatan.

“Alhamdulillah kami masih bertahan sejak tahun 2000 di tapak ini,” ujarnya. Pada masa akan datang menurutnya, dia merancang untuk membuka kedai makanan bagi memajukan lagi perniagaan yang ditinggalkan ayah.

“Memang saya mempunyai cita-cita besar dalam perniagaan. Saya mahu membuka kedai makanan,” jelasnya.

Tambahnya, bidang makanan mempunyai potensi cerah untuk terus dikembangkan dan dia akan berusaha sedaya upaya untuk terus mengemas kini pendekatan terkini bagi meningkatkan perkhidmatan.

Suara Sarawak