Diserang buaya ketika buang air besar

LIMBANG: Misteri mayat seorang lelaki tanpa identiti yang ditemui terapung oleh orang awam di Sungai Limbang, berhampiran tanah perkuburan Batu Miris akhirnya terjawab, hari ini.

Mangsa Damit Aman, 50, anak ketiga daripada tujuh beradik dari Kampung Ulak sebelum ini dipercayai mati dibaham oleh buaya ketika membuang air besar di jambatan berhadapan rumahnya pada waktu malam.

Menurut Ketua Kampung Ulak Roslan Kahar, kehilangan mangsa disedari kelmarin jam 5 petang apabila pelanggan tetap mangsa mahu membeli pisang.

“Pelanggan pisangnya itu memang setiap minggu akan datang ke rumah mangsa untuk membeli buah pisang.

“Namun setelah beberapa kali memanggilnya di rumah dan mencarinya di sekitar kebun berdekatan, namun mangsa tidak ditemui.

“Disebabkan gagal menemui mangsa, dia (pelanggan) memberitahu kepada abang mangsa,” ujarnya.

Selepas itu, Roslan bersama-sama abang mangsa pergi ke rumah Damit dan melihat lampu rumah masih terpasang dan pintu dalam keadaan terbuka.

“Kami mencarinya disekitar kampung namun tidak menjumpainya dan akhirnya kami menemui selipar mangsa di atas jambatan.

“Risau akan keselamatan, saya terus membuat laporan polis sebelum dimaklumkan terdapat mayat tanpa identiti dijumpai di sungai ini,” katanya menceritakan kejadian yang berlaku dua hari lepas.

Bagaimanapun, pagi tadi mereka dipanggil semula ke balai polis bagi membantu pengecaman mayat tanpa identiti di Bilik Mayat Hospital Limbang.

Selepas pengecaman oleh ahli keluarga, mayat tanpa identiti tersebut memang Damit.

“Mangsa tinggal seorang diri di rumah, oleh sebab itu kehilangan mangsa lambat disedari,” ujar Roslan kepada pemberita.

Beliau menambah, kes serangan buaya kerap berlaku di kampungnya dan setakat ini melibatkan dua kematian.

“Populasi buaya semakin banyak di kawasan kuala Sungai Limbang dan ini sangat membimbangkan penduduk kampung yang rata-ratanya tinggal di tebingan sungai.

“Laporan kepada pihak berkenaan sudah saya lakukan namun belum ada sebarang tindakan dilakukan.

“Saya berharap pihak berkenaan memandang serius mengenai masalah ini kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan penduduk,” tegasnya.

Suara Sarawak