MUKAH:  Seramai 5,428 penduduk terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Ud dan Sungai Ud Hilir Dalat menerima agihan bantuan makanan, hari ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata,  agihan bantuan itu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) Mukah dan peringkat daerah.
Menurutnya,  makanan yang disalur menggunakan lori  itu termasuk beras, gula, kopi, roti, mi, makanan dalam tin dan minyak masak.
“Oleh kerana penduduk tidak dapat keluar dari kampung mereka, kita juga mengambil kira keperluan anak-anak kecil  yang masih memerlukan susu.

“Senarai mereka yang memerlukannya telah diberikan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diagihkan kemudian. Begitu juga dengan lampin pakai buang kerana saiznya berbeza-beza. Kita perlukan maklumat yang betul,” katanya kepada media.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat yang terjejas dan sentiasa melaksanakan pelbagai pendekatan bagi meringankan beban mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya,  pihak hospital juga mewujudkan klinik sementara berhampiran Kampung Sungai Ud bagi memudahkan penduduk mendapat rawatan kesihatan khususnya warga emas.
“PKPD merupakan sesuatu yang baharu bagi penduduk Kampung Sungai Ud dan Sungai Ud Hilir. Sudah pasti, keadaan itu amat menyulitkan mereka. Bagaimanapun, saya menggesa penduduk agar bersabar dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Rantaian penularan Covid-19 dapat  diputuskan sekiranya kita mematuhi sepenuhnya SOP itu. Proses pengesanan juga sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan ketika ini,  saya menggesa penduduk agar memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu mengagihkan bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah, Pegawai Kebajikan Bahagian, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) , Angkatan Pertahanan Awam ( APM)  sukarelawan pusat khidmat dan belia yang kesemuanya berjumlah 44 orang,” ujarnya yang juga ADUN Dalat.

Suara Sarawak