SARIKEI: Semua pihak perlu berganding bahu mengalas tanggungjawab membendung penularan wabak pandemik Covid-19 demi menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing.
ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, setiap individu perlu memainkan peranan penting di samping mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berwajib.
Katanya, semangat setia kawan yang erat daripada seluruh masyarakat bukan sahaja membantu melandaikan lekukkan jangkitan tetapi juga membantu meringankan beban petugas barisan hadapan.
“Saya juga ingin mengajak seluruh masyarakat khususnya warga Sarikei untuk bersama-sama menghargai pengorbanan mereka.
“Sudah sampai masanya kita menghargai sumbangan mereka. Tidak sekadar berterima kasih tetapi, patuh arahan dengan duduk di rumah selain menjaga kebersihan diri,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dalam pada itu beliau menaruh sepenuh keyakinan terhadap kemampuan Ketua Menteri Datuk Patinggi, Abang Johari Tun Openg dalam mengemudikan Sarawak menghadapi pandemik berkenaan.
Sehubungan itu katanya, Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 yang diumumkan baru-baru ini merupakan pakej yang bermanfaat untuk seluruh rakyat.