HSL berbuka puasa bersama pengamal media di Sarawak.

Kahwin campur jalin perpaduan di Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SEMASA saya menghadiri sesi perbincangan meja bulat anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak pada 5 April 2018, saya diberikan soalan oleh moderator yang berbunyi; “Apa yang unik di Sarawak yang tidak ada di tempat lain?”

Bagi menjawab soalan itu apa yang boleh saya nyatakan ialah rakyat Sarawak mempunyai sifat kepunyaan dan sifat menerima yang tinggi. Rakyat negeri ini membawa sifat ini di mana-mana mereka berada, sama ada di Sarawak mahupun ketika merantau.

Kadangkala orang boleh tafsirkan ini sebagai sifat kenegerian yang sama seperti orang Kelantan atau Johor. Namun, saya melihat ia adalah jati diri bukan sifat kenegerian semata-mata. Sifat kepunyaan dalam kalangan masyarakat Sarawak sangat kuat.

Apa-apa yang dimiliki atau beridentiti tempatan adalah milik bersama dan mereka bangga dengannya. Saya sendiri lebih suka kicap kipas udang berbanding kicap Tamim walaupun Tamim dibuat di Batu Gajah, Perak.

Tetapi kicap Tong Nam merupakan kicap orang Sarawak, boleh dikatakan setiap rumah memiliki kicap ini. Itu baru bab kicap belum lagi bab belacan. Belacan Bintulu atau belacan Tambirat akan dibawa ke Semenanjung walaupun di sana belacan Melaka juga banyak.

Gula apong pula paling sedap bagi masyarakat tempatan. Saya katakan gula Melaka juga sedap, maka berpolemiklah kami. Saya pula suka bergurau semata-mata untuk melihat gelagat sahabat yang berasal dari Sarawak.

Hakikatnya, ternyata kesetiaan orang Sarawak pada gula apong sangat tinggi. Begitulah sifat kepunyaan orang Sarawak terhadap apa-apa yang beridentitikan Sarawak. Tidak kira Iban, Melayu, Cina dan kaum-kaum lain.

Sebanyak 27 kaum, semua mereka bersatu di bawah produk tempatan keluaran Sarawak. Sifat menerima juga menjadi teras perpaduan rakyat Sarawak. Sifat menerima ini jelas dilihat daripada perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Boleh dikatakan keluarga di Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum. Dalam kaum Melayu ada menantu Iban, Bidayuh atau Cina. Dalam masyarakat Iban ada saudara-mara Melanau, Melayu dan lain-lain. Sifat keterbukaan dalam menerima kaum lain menjadi keluarga mereka sangat menakjubkan.

Apabila saya bersembang dengan rakan-rakan Iban, mereka akan memberitahu “bisi menyadi aku kawin enggau Melayu cikgu” (ada adik-beradik dia yang kahwin dengan Melayu). Ternyata mereka menerima dengan baik kehadiran kaum yang berbeza dengan mereka dalam keluarga.

Malah saya masih ingat semasa saya mula datang mengajar di Sarawak, saya suka membaca ruangan obituari dalam akhbar tempatan. Bukan suka berita kematian tetapi saya banyak belajar bahawa dalam iklan obituari itu akan terpampang nama-nama keluarga yang ditinggalkan oleh si mati.

Kalau yang meninggal itu Iban, ada nama Melayu atau Cina sebagai menantu dalam keluarga yang ditinggalkan, begitu juga Cina dan sebagainya. Malah tulisan jawi lebih dimartabatkan di Sarawak. Lihat sahaja Wisma Sanyan di Sibu yang majoritinya dimonopoli kaum Cina, tulisan Jawi melekat di puncak bangunannya.

Lihat sahaja dewan gereja sekolah St Teresa ada versi bible yang ditulis dengan tulisan jawi. Orang Sarawak menerima tulisan jawi dengan baik pada zaman dahulu malah mengekalkannya hingga kini. Kalau di Semenanjung ini akan menjadi isu besar yang dimomokkan untuk menjejaskan perpaduan kaum.

Demikian juga dengan kehadiran orang Semenanjung yang berkhidmat sini, mereka akan menerima dengan tangan terbuka asalkan kita pandai menghormati adat dan budaya mereka. Itulah keunikan masyarakat Sarawak yang berjaya mengekalkan keharmonian kaum.

Sekarang ini cabaran besar negara ialah menyatukan rakyat dari segi menyemai semangat perpaduan. Pada bulan kemerdekaan Malaysia yang turut disambut oleh rakyat negeri ini meskipun Sarawak sudah merdeka lebih awal.

Seharusnya pemimpin negara memikirkan bagaimana untuk memacu arah membina masyarakat Malaysia yang mempunyai rasa sayang dan cinta akan negara tanpa prejudis terhadap kaumkaum lain. Kita kena ketepikan soal ketuanan dan melabelkan kaum lain sebagai pendatang.

Dalam masa pandemik ini kita hendaklah bekerjasama sepasukan untuk membina negara yang harmoni. Sarawak terus harmoni bersatu dalam kepelbagaian dan perbezaan namun sejajar memartabatkan nilai sejagat sebagai alat perpaduan kaum.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

30 Mac 2023

Berita Terbaru