Perlu lebih ramai rakyat Sarawak untuk dilatih sebagai guru agama di negeri ini – STU

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan lebih ramai calon guru Sarawak untuk dilatih sebagai guru agama di negeri ini.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Parkash Abdullah berkata, isu berkaitan dengan kekurangan guru agama di Sarawak bukan satu perkara yang baru, malah ia telah berlaku sejak bertahun lamanya.

“Kami berharap agar kerajaan mencari langkah yang lebih efektif dalam meningkatkan dan mencari guru yang boleh membantu mengajar dalam bidang tersebut.

Adam Parkash Abdullah

“Namun yang paling penting adalah pemilihan calon guru perlulah dalam kalangan rakyat Sarawak terutamanya untuk Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan Perwakilan Dwitahunan STU Ke-25 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara STU dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di Hotel Penview, semalam.

Adam menambah, isu kekurangan guru agama ini menjadi satu kesukaran kerana sejak dahulu lagi guru agama yang diambil untuk mengajar di Sarawak adalah dari Semenanjung Malaysia.

“Kita amat berterima kasih kepada mereka kerana sanggup mengajar dan membantu kita di Sarawak.

“Namun, isunya adalah apabila mereka kembali ke negeri mereka, kita tidak ada calon yang layak untuk menggantikan mereka,” jelasnya.

Katanya, dalam PDPP juga, lebih ramai calon guru agama yang dilatih adalah dari Semenanjung Malaysia tetapi ditempatkan di Sarawak.

“Ini menimbulkan kerisauan kerana ia tidak menyelesaikan masalah kita kekurangan guru agama dalam kalangan rakyat sarawak.

“Mungkin terdapat pelajar yang tidak berminat untuk mengajar dalam bidang tersebut.

“Namun kita boleh mencadangkan satu insentif yang berbeza untuk guru agama bagi menggalakkan mereka berminat untuk mengajar dalam bidang agama,” ujarnya lagi.