Petugas, sukarelawan PPV Dinner World Bintulu raikan Hari Sarawak

BINTULU: Laungan ‘Sarawak Gemilang Untuk Semua’ bergema di PPV Dinner World Bintulu sempena sambutan Hari Sarawak hari ini.

Acara sambutan secara kecil-kecilan anjuran petugas dan sukarelawan PPV tersebut turut dihadiri Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Ibu Pertiwiku, diikuti persembahan tarian ‘ngajat’ oleh dua petugas PPV berkenaan yang mengenakan kostum tradisional sebelum diakhiri dengan acara mengibarkan bendera Sarawak.

Dr Melvin ketika ditemui berkata rakyat Sarawak daripada pelbagai lapisan masyarakat harus berbangga walaupun menyambut Hari Sarawak secara kecil-kecilan kerana pandemik Covid-19.

“Setiap orang harus berbangga dengan apa yang telah mereka perjuangkan, apa yang mereka lalui dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Kami berharap dengan acara sederhana ini, kami masih dapat menyampaikan pesanan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua orang termasuk barisan hadapan,” katanya.

Suara Sarawak