RM2.3 juta bina jalan berturap di Merapok

LAWAS: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.3 juta untuk projek pembinaan jalan raya berturap di kawasan Merapok, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Pembinaan jalan berturap itu sejajar dengan pembangunan kemudahan pelancongan di Sungai Paterikan yang turut menempatkan pusat informasi dan kemudahan lain yang berjumlah RM3.4 juta.

“Sungai Paterikan yang mempunyai keunikan alam semula jadi wajar diketengahkan sebagai antara lokasi pelancongan berteraskan flora dan fauna,” ujarnya.

“Pembangunan turut melibatkan pembinaan jalan pesisir bagi menggantikan Pan Borneo yang dibatalkan oleh Kerajaan PH dahulu,” katanya.

Dedahnya, projek pembinaan jalan pesisir yang menghubungkan kawasan di Merapok turut dilaksanakan.

Awang Tengah yang juga Adun Bukit Sari turut memaklumkan projek pembesaran Kampung Paterikan akan dilaksanakan tahun depan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu, projek menaik taraf bekalan air bersih ke kawasan Merapok hingga ke Ulu Merapok akan dilaksanakan dengan meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 0.2 MLD kepada 2.0 MLD.

“Banyak usaha bakal dilakukan oleh Kerajaan Sarawak untuk Merapok melalui Recoda,” ujarnya.

Oleh itu, beliau meminta Recoda untuk mengemukakan pelan pembangunan tempatan untuk Merapok dan kawasan berdekatan Pos Sempadan Imigresen, Kastam dan Kuarantin Merapok (CIQ).

“Semua pembangunan berstrategi, sistematik mengikut keutamaan semasa akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk mengubah landskap Merapok,” jelasnya.

Suara Sarawak