Sarawak peruntuk RM270 juta hantar vaksin ke seluruh negeri

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM270 juta untuk membiayai pengurusan logistik bagi penghantaran vaksin Covid-19 ke seluruh negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kos yang besar tersebut adalah disebabkan faktor keluasan negeri ini yang memerlukan pelbagai medium pengangkutan termasuk perlu melalui jalan darat, air serta udara.

“Ini kerana ada sesetengah kawasan pedalaman kita memerlukan helikopter untuk menghantar dan ia bukan satu usaha yang mudah kerana negeri ini amat besar.

“Kos tersebut juga termasuk untuk barisan hadapan, bagaimanapun semua usaha ini memberikan kesan yang begitu baik dari sudut kejayaan.

“Malah setakat hari ini lebih 70 peratus rakyat Sarawak sudah menerima dos pertama vaksin, manakala lebih 40 peratus sudah lengkap dua dos,” katanya dalam temu bual Program Steadey secara langsung di TV Okey sempena Hari Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata penghantaran vaksin di seluruh negeri itu adalah bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam menerima vaksinasi dan beliau optimis mampu mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok menjelang akhir Ogos depan.

Abang Johari turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada para sukarelawan, barisan hadapan dan anggota keselamatan yang terlibat di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana sangat komited dalam memberikan perkhidmatan serta menyokong usaha kerajaan negeri mempercepatkan pemberian vaksin.

Suara Sarawak