Sembilan kes positif Covid-19 direkodkan hari ini

KUCHING: Sembilan kes positif Covid-19 dilaporkan di Daerah Kuching hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya di Sarawak ialah 628 kes.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan, daripada jumlah terbabit, dua ialah kes import.

“Kes pertama merupakan perempuan warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Korea Selatan.

“Kes balik ke Sarawak melalui KLIA dari Korea Selatan pada 9 Julai lalu dan transit di Kuala Lumpur untuk semalam. Kes balik ke Sarawak melalui KIA Kuching pada 10 Julai . Kes tidak menunjukkan tanda dan gejala.

“Setibanya kes ke KIA Kuching, beliau telah dimasukkan di hotel untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari. Kes telah disaring pada 9 Julai di KLIA dengan menggunakan RTK Antigen dan didapati negatif.

“Semasa berada di pusat kuarantin di Kuching, kes telah disaring pada hari Ke-2 iaitu pada 11 Julai dan didapati negatif. Kes disaring ( rT PCR) buat kali keduanya pada hari ke-10, iaitu pada 20 Julai dan didapati positif Covid-19 pada 22 Julai,” katanya.

Tambahnya, kes dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan pengesanan kontak serta siasatan lanjut masih dalam siasatan.

“Kes kedua merupakan perempuan warganegara tempatan, seorang pelajar di Kursk Medical University, Russia. Kes balik ke Sarawak dari Rusia melalui London, UK ke KLIA pada 6 Julai lalu.

“Kes balik ke Sarawak melalui KIA, Kuching dan telah dimasukkan ke pusat kuarantin serta tidak menunjukkan tanda dan gejala.

“Pada 6 Julai, kes disaring menggunakan RTK Antigen di KLIA dan didapati negatif. Pada 7 Julai iaitu pada hari kedua, kes disaring tetapi keputusan adalah negatif.

“Kes disaring (rT PCR) semula pada hari ke-10 pada 18 Julai dan didapati positif Covid-19,” jelasnya.

Dalam pada itu, JPBN memberitahu, terdapat empat kes baharu yang melibatkan pengesanan kontak bagi kluster aktif di Kuching.

“Satu kes melibatkan warganeraga tempatan yang merupakan ahli keluarga kepada kes Ke-602 iaitu kes indek Kluster Sentosa.

“Kes disaring (rT PCR) pada 20 Julai lalu dan didapati positif Covid-19 pada hari berikutanya serta tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala,” ujarnya.

Katanya lagi, tiga kes merupakan kes saringan kontak yang melibatkan Kluster Pasar Stutong.

“Mereka menjalani saringan pada 20 Julai lalu dan didapati ujian saringan ujian rT-PCR positif Covid-19 pada hari ini.

“Kesemua mereka adalah wargenegara tempatan,” tegasnya.

JPBN turut memberitahu, satu kes telah dikesan melalui saringan rawak dalam kalangan guru yang balik daripada bercuti.

“Kes merupakan seorang lelaki yang telah menaiki pesawat dari Kota Bahru ke KIA Kuching pada 4 Julai lalu. Ujian saringan kes pada 21 Julai di Klinik Kesihatan Kerajaan didapati positif Covid-19 serta tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Satu lagi kes merupakan warganegara tempatan telah dikesan melalui pengesanan kontak rapat kepada kes Ke-587 yang menaiki pesawat sama dari KLIA ke KIA Kuching pada 15 Julai lalu.

“Ujian saringan rT-PCR yang telah dijalankan pada 18 Julai mendapati positif Covid-19 serta tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala,” tambahnya.

Kata JPBN, satu lagi kes merupakan kontak rapat kepada kes yang telah dikenal pasti Covid-19 iaitu abang kepada kepada kes Ke-574 (kes Severe Acute Respiratory Infection-SARI) yang telah didapati positif Covid-19 pada 5 Julai lalu.

Suara Sarawak