1st MBG Debak platform kongsi idea

DEBAK: Tebingan Debak berjaya mengikat tali persaudaraan penggemar dan penggiat sukan permotoran di negeri ini melalui penganjuran 1st Mini Bike Gathering (1st MBG) Debak 2019.

Menurut Penasihat Kelab Sukan Permotoran Debak (KSPD) Saiful Hanizam Suhaini, 1st MBG Debak berperanan sebagai platform untuk penunggang motorsikal berkongsi pendapat dan minat selain inisiatif merancakkan lagi promosi terhadap Daerah Kecil Debak dan Saribas khasnya yang sudah terkenal dengan pelbagai jenis sukan.

Katanya, Saribas merupakan lokasi ideal untuk aktiviti berbentuk pelancongan sukan.

“Saribas begitu sinonim dengan sukan berbasikal (MTB XC-Challenge) yang disertai pekayuh luar negara, futsal serta pelbagai lagi.

“Justeru dengan adanya usaha seperti ini, kita secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk mempertingkat sektor pelancongan sukan di Debak dan memperkenal produk tempatan milik penduduk di sini,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Laser Light (KSRLL) Debak bercakap demikian semasa majlis perasmian 1st MBG Debak yang berlangsung di tebingan Debak dekat sini.

Jelasnya, 1st MBG Debak mendapat sokongan padu daripada NVX Central Region, Sahabat Dua Roda Saratok, Top 5Speed Motor Sport, RS 150 Sarawak Midzone, Monkey Rider Community, Krian Bikers, Perantau Highway Motor Club, GXNO Bikers, Sarawak All Riders, Salam Bikers, B2 Rider Community, South Borneo Bikers, Southern Family, Kabong Bikers, Sungai Pinang Dayak Club, Unlimited LC Community, Legendary RX-Z Rider Community, Evolution Rider Club, Sixth Division Y15ZR/RS150/LC135, Killer Breed Sarawak, Serian Bikers Club, KRLCCS Sarikei, Luilai Sticker, Borneo Lagenda Rider Crew, LCCS Sibu, Oniey Maju Jaya Cafe, Annie Supermarket, Dilod Cafe, Persatuan Usahawan dan Penjaja Debak (PUPD) serta KSRLL Debak.

Saiful menambah, objektif utama penganjuran untuk menarik minat belia melibatkan diri dalam aktiviti permotoran mengikut undang-undang bagi menyemai nilai-nilai positif.

“Selain itu memupuk semangat setia kawan dan bersatu padu belia pelbagai kaum di Saribas khususnya dan Sarawak amnya.

“Dalam pada itu menyumbang pertumbuhan ekonomi penduduk dan menarik penyertaan serta menyatupadukan penggemar sukan bermotorsikal di seluruh di negeri ini untuk berkampung di Debak.

“Alhamdulillah objektif kita berjaya apabila menerima lebih 500 penyertaan daripada pelbagai kelab yang hadir dari merata tempat… paling jauh dari Kuching, Serian dan Sibu,” ujarnya.

“Kami selaku penganjur amat berpuas hati dengan penganjuran 1st MBG Debak kerana mendapat sambutan yang begitu menggalakan.

“Insha-Allah untuk edisi berikutnya nanti, kami akan menyusun atur lebih awal dan dijangka lebih meriah,” jelasnya.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam selaku penaung KSPD, 1st MBG Debak disifatkan satu platform terbaik menyatukan semua pihak yang berbeza latar belakang.

Katanya, program sedemikian wajar diteruskan pada masa-masa akan datang dan Debak wajar diperkenalkan sebagai satu lagi pilihan penggemar dan penggiat sukan permotoran di negeri ini.

 

 

 

 

 

 

 

Suara Sarawak