2 ejen 'black market' di Kampung Punau ditangkap

PADAWAN: Seorang wanita tempatan dan lelaki Indonesia ditangkap kerana disyaki menjadi ejen jualan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.
Kedua-dua suspek ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Kampung Punau, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata tangkapan pertama melibatkan lelaki warga Indonesia terbabit, di sebuah pondok di Kampung Punau sekitar jam 6.35 petang.
Katanya semasa disoal siasat, suspek, 26, yang juga merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati) mengaku bekerja sebagai pekerja judi dalam talian.
Beliau menambah pasukan serbuan turut menjumpai dan merampas seunit telefon bimbit serta wang tunai RM195 daripada suspek.

. TANGKAP…. Suspek pertama merupakan seorang lelaki warga Indonesia

“Suspek akan direman selama 14 hari kerana dia adalah Pati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aidil berkata suspek kini ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Manakala, katanya tangkapan kedua melibatkan seorang wanita berusia 32 tahun dalam serbuan sekitar jam 6.40 petang di sebuah kedai makan di Kampung Punau.
Menurut Aidil, ketika disoal siasat, suspek yang telah berkahwin itu mengaku menjalankan penjualan loteri awam kepada pelanggan di sekitar kawasan itu.
“Turut dirampas seunit telefon bimbit, dua keping kertas bertulis angka dan wang tunai berjumlah RM359,” katanya.
Beliau menambah semakan rekod polis turut mendapati wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya suspek telah direman hari ini.
PERIKSA… Polis menjalankan pemeriksaan di dalam premis suspek disyaki menjalankan penjualan loteri awam tanpa lesen