20 individu ditangkap langgar PKPP di pusat hiburan
KUCHING: Seramai 20 individu termasuk lima wanita warga China dipercayai berhibur dan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah diberkas polis di pusat hiburan berhampiran Jalan Batu Kawa, New Township, semalam.
 
Ketua Jabatan Siasatan Narkotik dan Dadah Sarawak, ACP Jasmirol Jamaluddin berkata, pusat hiburan berkenaan diserbu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak sekitar jam 11.30 malam.
 
Menurutnya, serbuan awal mendapati pusat hiburan terbabit telah beroperasi dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP).
 
Dedahnya, kesemua suspek yang ditangkap termasuk pemilik premis berusia lingkungan 31 hingga 56 tahun.
 
“Pemeriksaan ke atas dua bilik di mana suspek berada telah menemui tiga peket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 1.72 garam serta satu gelas berisi cecair bercampur dadah.
 
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati 15 individu disahkan positif dadah manakala lima daripadanya termasuk pemilik premis menunjukkan keputusan negatif,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Dedahnya lagi, siasatan awal mengesahkan kesemua suspek mengaku datang ke premis berkenaan untuk berhibur manakala bekalan dadah tersebut telah diambil daripada pemilik premis itu sendiri.
 
“Pemilik premis mendedahkan beliau mendapatkan barangan tersebut secara bank-in,” katanya lanjut.
 
Susulan itu, katanya, kesemua suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.
 
Tegasnya, kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan)(2020), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.