20 maut dalam serangan di penjara Afghanistan

JALALABAD: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serbuan oleh kumpulan militan Daesh ke atas sebuah penjara di Afghanistan.

Serangan itu sekali gus menghancurkan gencatan senjata antara Taliban dengan tentera kerajaan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pertempuran masih berlarutan semalam, sehari selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang penjara yang menempatkan sekitar 1,700 banduan Daesh atau Taliban di timur bandar Jalalabad.

Pusat berita Daesh, Amaq mengumumkan pejuangnya yang melakukan serangan tersebut, menurut kumpulan Perisik Site.

Kumpulan bersenjata terbabit masih bersembunyi di sekitar penjara, kata jurucakap Gabenor Nangrhar Attaullah Khogyani kepada AFP.

Beberapa kenderaan berperisai dan sejumlah anggota keselamatan dikerahkan di kawasan terbabit dan bunyi tembakan serta letupan masih dapat didengar.

Jurucakap bagi hospital wilayah, Saher Adel, berkata 20 orang yang terbunuh setakat ini turut melibatkan anggota keselamatan.

Menurutnya, jumlah korban dijangka terus meningkat memandangkan lebih 40 mengalami kecederaan serius. – AFP

Suara Sarawak