200 tahun melombong emas Bau

BAU: Sambutan ulang tahun aktiviti perlombongan emas dicadang untuk diadakan pada penghujung bulan ini.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, sambutan tersebut diadakan sempena genap 200 tahun aktiviti pelombongan emas di daerah ini bermula pada 1820.

Menurutnya, surat jemputan telah dihantar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan sambutan tersebut.

“Sambutan ini begitu simbolik kerana tahun ini genap dua abad aktiviti perlombongan di Bau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Pembelian Barangan Kitar Semula, Trash To Cash Drive-Through dan pelancaran video Kita Jaga Kita di pekarangan Tasik Biru, semalam.

Beliau turut memberitahu, satu simposium turut diadakan pada Selasa ini di sebuah hotel di Kuching bagi membentangkan sejarah perlombongan emas di Bau.

“Ahli sejarah, pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta pihak muzium turut dijemput pada simposium tersebut.

“Mereka akan membawa segala rujukan, buku dan sebagainya dan membentangkan bahawa aktiviti perlombongan emas telah wujud ketika itu,” katanya.

Katanya, maklumat terperinci mengenai simposium itu akan dimaklumkan pada sidang media berkenaan.

Beliau turut menambah, kerajaan juga telah melantik badan perunding untuk menjalankan kajian bagi membangunkan sebuah muzium emas dan taman emas di Tasik Biru.

Beliau turut berkata, pada sambutan itu kelak akan diadakan pameran mini mengenai perlombongan emas di Bau.

“Pameran ini akan memberi pengetahuan kepada orang ramai mengenai sejarah perlombongan emas ini,” kata Henry.