2,000 peminat sambut Sarawak United di Dataran Asajaya

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) menjalin kerjasama dengan empat entiti berkaitan, Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Perbadanan Sukan Sarawak untuk membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.

“Jaringan kerjasama tersebut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menggiatkan lagi usaha melahirkan bakat-bakat baharu di negeri ini,” kata Presiden FA, Datuk Posa Majais.

“Kita mahu melahirkan pemain hebat untuk pasukan negeri, malah untuk pasukan Malaysia suatu hari nanti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pasukan Sarawak United FC 2020 di Dataran Asajaya, malam semalam.

Sekitar 2,000 penduduk tempatan dan dari luar Asajaya hadir mengerumuni pekarangan Dataran Asajaya. Ia turut dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi popular, Ameng Spring.

“Tujuan utama kita adakan di kawasan luar bandar adalah untuk memperkenalkan barisan pemain pasukan SUFC ke seluruh Sarawak khasnya kawasan seperti ini.

“Tahun ini Sarawak telah menjenamakan semula Sarawak FA kepada Sarawak United FC kerana terpaksa akur dengan hala tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu hanya pasukan kelab negeri sahaja yang layak bertanding dalam Liga Malaysia pada tahun 2021 akan datang,” katanya.

Mengenai persiapan pasukan musim ini Posa menjelaskan ia berjalan lancar.

Tiga pasukan akan mengibar bendera Sarawak United musim ini iaitu pasukan utama, SUFC, skuad Liga M3, SUFC II, skuad Piala Presiden (SUFC III) dan pasukan Piala Belia, SUFC IV.

Suara Sarawak