MIRI: Lebih 2,000 peserta dijangka menyertai Larian Bersama Bomba Edisi Ke-7 yang akan berlangsung pada 9 September depan di Marina Central Park di sini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Ismaidi Ismail berkata larian itu membabitkan lima kategori.
Antaranya ialah kategori 12 kilometer (km) Terbuka Lelaki, 12km Terbuka Wanita, 12km Veteran Lelaki, 12km Veteran Wanita dan 4km Fun Run.
Yuran pendagftaran awal bagi kesemua kategori 12 km adalah RM65 (sehingga 15 Julai manakala harga biasa bermula 16 hingga 31 Julai ialah RM70.
Untuk kategori 4km Fun Run, yuran pendaftaran awal hingga 15 Julai adalah RM60 manakala pada 16 hingga 31 Julai, akan dikenakan harga normal RM65.
Ia adalah anjuran bersama Majlis Bandaraya Miri (MBM), Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), Bulatan Park Runners Club, Share Tea Boulevard dan Sport Terminal.
“Kita berharap orang awam sekitar di Miri dan luar Miri termasuk dari negara Brunei dan Sabah akan turut serta dalam larian amal ini,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Hasil kutipan larian ini akan disumbangkan kepada badan kebajikan iaitu Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bekenu.
Program yang diperkenalkan sejak 2015 ini telah ditangguhkan selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 namun diteruskan tahun lalu.
Pendaftaran boleh dibuat di Share Tea Pusat Komersil Boulevard, Pejabat Zon 6 Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng atau melalui atas talian di http://www.jomrun.com/event/ Bomba-run2023 sebelum tarikh tutup penyertaan pada 1 Ogos 2023.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Rafie Sapar di talian 019-8470757, Terry Robson Florance (019-8582994), Maureen Sim (010-7908796) dan Francis Aceh Angai (014- 5863904) atau Presiden Bulatan Park Runners Club, Tang Swee Ming (019-8844172).
Turut hadir ialah Kaunselor Abdullah Jaini, Ketua Balai Bomba Lopeng, Mohamed Hamdani Madon, Ketua Balai Bomba Miri, Bonny Martin Saging Mato serta tetamu lain.