20,000 pelitup muka untuk pelajar, guru

TANJUNG MANIS: Pembukaan semula sekolah bermula 1 Mac depan menggembirakan banyak pihak terutama ibu bapa di kawasan pesisir negeri ini. Bagaimanapun di sebalik kegembiraan itu, ramai juga yang menggesa agar prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan demi menjaga dan melindungi keselamatan pelajar daripada ancaman Covid-19.

Menyedari kegusaran itu, GPS Kuala Rajang, tampil menyumbang peralatan keselamatan sebagai persediaan sebelum sesi persekolahan bermula tidak lama lagi. Adun Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, semua pelajar dan murid di kawasan itu akan dibekalkan dengan pelitup muka percuma.

Pada masa yang sama katanya, peralatan penyukat suhu, cecair pembasmi kuman dan kod QR juga disediakan di setiap sekolah sebagai langkah keselamatan. “Kita akan menghulurkan sekurang-kurangnya 20,000 pelitup muka percuma kepada semua murid dan guru di Kuala Rajang sebelum sekolah dibuka semula nanti.

“Sehubungan itu, peruntukan akan disalurkan kepada setiap PIBG bagi membolehkan mereka membeli peralatan perlindungan keselamatan berkenaan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Zon Tanjung Manis pada Ahad.

Beliau berkata, amalan penjarakan fizikal yang selamat dan menjaga tahap kebersihan diri merupakan asas penting yang mampu mencegah dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu katanya, pemeriksaan suhu badan mesti dilakukan sebelum pelajar memasuki kelas masing-masing selain wajib memakai pelitup muka. “Pada masa yang sama, pihak pengurusan sekolah, guru dan ibu bapa perlu saling bekerjasama dalam memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sumbangan dana berterusan membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan generasi muda khususnya di kawasan Dun Kuala Rajang.

Katanya, langkah itu amat penting bagi memastikan generasi hari ini menimba ilmu dalam suasana selamat dan selesa. “Menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan kemudahan pendidikan terbaik termasuk dana khas untuk mereka yang meraih keputusan cemerlang dan berjaya menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi,” tambahnya.