KABONG: Nasib seorang bekas tentera Sabeli Paie, 63 tahun yang berdepan musibah kebakaran rumah di Kampung Hilir Sessang mendapat simpati banyak pihak.

Semalam Pegawai Daerah Kabong, Haji Rashdan Haji Hazemi hadir membuat tinjauan di lokasi kejadian jam 11. 30 pagi.Kehadiran beliau disertai Penghulu Sessang, Haji Kamaludin Haji Rambli.

Turut hadir pada tinjauan berkenaan Pegawai Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Cawangan Sarikei, Ali Mat.

Pihak TBS turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung mangsa dan keluarga.

Terdahulu sebelum itu, wakil Pejabat Kebajikan Saratok juga hadir melawat keluarga mangsa dan menghantar sumbangan.

Tidak terkecuali wakil bekas askar yang sepasukan dengan mangsa dan juga wakil tentera dari 3 Renjer dan Veteran 8 Renjer Sibu turut hadir melawat mangsa pada hari yang sama.

Dalam kejadian pada jam 12. 30 tengah malam (Sabtu) rumah mangsa musnah sepenuhnya terbakar yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Dalam tragedi itu, tiada apa yang dapat diselamatkan, semuanya musnah dalam sekelip mata.

Kejadian itu merupakan tragedi yang hanya berselang setahun selepas rumah jiranya Udin Li terbakar pada 30 Mac 2018, tengah hari Jumaat.

Buat sementara waktu Sabeli dan keluarga kini menumpang sementara di rumah sanak-saudaranya.

Haji Rashdan (empat dari kanan) dan Ali Mat (tiga dari kiri) ketika kunjungan ke lokasi kejadian di Sessang.

Pegawai Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Sarikei Ali Mat (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Sabeli Paie.