Barisan Nasional (BN) pertama kali berjaya merampas kerusi yang tewas selepas pilihan raya umum 9 Mei 2018. Kemenangan ini diperolehi  apabila calon BN Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi menang dengan majoriti 1914 undi. Calon PH Muhammad Aiman Zainali pula memperolehi 17,866 undi. Calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi dan calon Bebas Kuan Chee Heng 725 undi kekalahan teruk kedua-dua calon ini menyebabkan mereka hilang wang pertaruhan.

Kemenangan ini menyebabkan kerusi  PH berkurangan kepada 50 kerusi manakala BN menambah satu kerusi menjadi lima kerusi DUN di Selangor. Ini merupakan kemenangan BN kali kedua, selepas tewas dalam empat PRK yang diadakan selepas PRU ke-14.

Statistik peningkatan BN

Pada PRK Semenyih ini BN mendapat  50.44 peratus undi dan peningkatan ini ketara  apabila sebanyak 19.56 peningkatan bertambah. Sebelum ini  peratus BN hanyalah dalam sekitar 30.88 peratus sahaja. Kerjasama BN dan PAS  yang berjaya dilaksanakan merupakan faktor kepada peningkatan peratusan undi yang diperoleh oleh BN.

Apabila kepimpinan PAS diasak oleh media pro Pakatan Harapan dan juga oleh kepimpinan PH dalam isu 90 juta wang derma ini mencetuskan kemarahan penyokong-penyokong PAS terhadap PH. Hal ini sama seperti apabila Tun Mahathir diasak secara besar-besaran oleh BN menjelang pilihan raya umum 2018. Rakyat marah apabila BN terlalu memperlekeh negarawan dan mantan perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun. Kesannya,  rakyat menolak BN ketika itu.

Foto: Page Najib Razak

Pengajaran ini tidak diambil iktibar oleh PH ketika mereka mengasak kepimpinan PAS secara keterlaluan dan tanpa melihat ke hadapan akan implikasinya terhadap sokongan  undi Melayu terhadap PH. Akibatnya sekitar 37 peratus sahaja undi Melayu menyokong PH dalam PRK Semenyih berbanding sekitar 44 peratus undi Melayu diraih PH pada pilihan raya umum tahun lepas. Penurunan undi Melayu ini juga merupakan manifestasi  ketidakpuasahan terhadap prestasi Pakatan Harapan.

Langkah PH cuba meratifikasi ICERD di negara ini merupakan pencetus kemarahan  orang Melayu yang bimbang kepentingan hak-hak Melayu, bumiputera dan agama Islam terjejas sedangkan mereka merupakan masyarakat majoriti di negara ini.  Begitu juga isu kuil Seafield yang pembunuh Adib anggota bomba yang bertugas belum lagi diketahui dan disabitkan kesalahan. Kesemua ini memberikan keresahan terhadap orang Melayu.

Pada menjelang PRK, timbul pula kenyataan Tun Mahathir  yang berpendapat bahawa jumlah penjawat awam yang dimiliki kerajaan ketika ini adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan saiz membangkitkan rasa ketidakpuasan kalangan orang Melayu dan penjawat awam.

Sedangkan  dalam tempoh 17 tahun selepas Tun Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri,  jumlah rakyat dan pembangunan semakin meningkat. Banyak sekolah dan hospital dibina dan ini memerlukan  guru dan jururawat, dalam pelbagai pekerjaan yang berkaitan amat diperlukan untuk menampung pertambahan tersebut.

Pertambahan dalam sektor keselamatan dan tentera dalam empat cabang perkhidmatan juga  perlu sesuai dengan jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah sekitar 30 juta penduduk.  Dalam konteks definisi perkhidmatan awam di Malaysia juga memasukkan sektor keselamatan negara seperti polis dan tentera. Di negara maju seperti Kanada perkhidmatan polis dan tentera  tidak dimasukkan sebagai senarai definisi penjawat awam. Definisi yang berbeza ini menyebabkan ramai yang salah tafsir terhadap jumlah penjawat awam di Malaysia.

Prestasi Pakatan Harapan dalam soal penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti dijanji Pakatan Harapan sukar direalisasikan menyebabkan golongan anak muda berasa PH kurang dapat dipercayai. Begitu  juga isu FELDA yang belum dapat diselesaikan, manakala kos sara hidup masih juga tidak dapat dibendung meskipun GST sudah dimansuhkan.

Maka apabila ini berlaku , tidak hairanlah apabila  undi Melayu yang dahulunya hanya sekitar 35 peratus pada pilihan raya umum 2018 kini melonjak kepada hampir 60 peratus menyokong BN dalam PRK Semenyih. Ternyata ini merupakan mesej pengundi kepada kerajaan PH supaya lebih sensitif dan peka kepada keperluan rakyat.

Bukan sahaja masyarakat golongan B40 menderita, golongan kelas menengah pun terasa bahawa perubahan yang diharapkan tidak berlaku seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum. Kesannya, rakyat marah terutama apabila kehidupan masih sama dan hanya perubahan struktur sahaja berlaku seperti perubahan perdana menteri dan wakil rakyat!

Komponen dalam Pakatan Harapan juga dilihat kurang consensus sesama mereka sebagaimana berlaku dalam isu ECRL yang memaparkan perbezaan pendapat di antara Azmin Ali Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Lim Guan Eng Menteri Kewangan.

Begitu juga kemasukan Bersatu ke Sabah, dapat dilihat terdapat rasa ketidakselesaan dalam kalangan akar umbi PKR dan DAP. Malah parti Warisan yang sebelum ini dijanjikan oleh Bersatu tidak akan melebarkan sayap ke Sabah juga dimungkiri. Kesemua ini dinilai oleh rakyat bahawa Pakatan Harapan sekiranya berterusan  dan tidak mahu berubah maka ia mungkin akan menjadi kerajaan sepenggal sahaja.

Berdasarkan situasi ini, untuk memulihkan imej politik Pakatan Harapan maka  rombakan kabinet perlu diadakan bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.