KUCHING: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh lagi ‘tidur lena’ selepas kekalahan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam.

Perkara itu diingatkan Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen yang berkata, keputusan PRK DUN Semenyih yang memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) merupakan tanda amaran rakyat kepada kerajaan pusat.

“Kita hormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Semenyih dan kita menerima kekalahan ini.

“Dan keputusan ini adalah panggilan amaran kepada PH termasuk kita di peringkat negeri, walaupun kita berkuasa di peringkat pusat, setiap pilihan raya ini kita tidak dapat jangkakan apa yang akan berlaku.

“Kamu boleh kalah jika kamu tidak lakukan yang terbaik, salah satu punca kekalahan adalah beberapa janji dalam manifesto tidak ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP Sarawak di ibu pejabat parti itu di sini semalam.

“Sudah tentu rasionalisasinya kita baharu menjadi kerajaan (pusat) sembilan bulan walaupun sebahagian daripada sudah kita lakukan tetapi usaha lebih perlu kita lakukan oleh kerajaan PH untuk memenuhi janji dalam manifesto,” kata Chong lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menegaskan, kerajaan PH harus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Selain itu, dedahnya, bahana trend politik di negara ketika ini adalah isu agama dan perkauman yang memainkan peranan penting yang boleh menyebabkan undi beralih arah dan memberi kemenangan kepada lawan.

Pada PRK DUN Semenyih, calon BN Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).