SARIKEI: Dua beradik berjaya diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam sebuah kereta jenis Produa Axia di Jalan Masjid al-Mutaqqin di sini, petang kelmarin.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Salim Hussien, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika kanak-kanak berusia setahun dan adiknya yang berusia empat bulan terkunci dalam kenderaan terbabit.

“Bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang ramai. Sebaik tiba di situ, kita mendapati ada dua kanak-kanak terperangkap dalam kereta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Bomba mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya membuka pintu kenderaan terbabit dengan menggunakan dawai.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang turut membantu Bomba menyelamatkan dua beradik ini,” ujarnya.