KUCHING: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatua (PBB) Datuk Idris Buang bersedia untuk berforum dengan Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak Andrew Lo.

Idris berkata, pihak Rise of Sarawak Efforts (ROSE) telah menjemputnya untuk menyertai forum bersama dengan Andrew dan beliau berpendapat ia adalah platform bagus untuk duduk bersama sebagai lelaki budiman dalam semangat kekeluargaan.

“Setakat ini saya belum tahu lagi di mana dan jam berapa forum berkenaan akan diadakan. Saya kini menunggu maklum balas lanjut daripada pihak ROSE untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang itu menambah, pihak MTUC sehingga kini tidak pernah menghubunginya mengenai isu berkenaan atau pun rancangan berforum yang ingin dianjurkan oleh ROSE.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh ROSE iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mahu menemukan dua orang pemimpin berkenaan untuk berforum secara terbuka.

“Antara perkara yang saya akan dibangkitkan nanti adalah perkara-perkara yang telah dibawa oleh kerajaan terdahulu dan, kini GPS dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di Samajaya, Samalaju, kawasan SCORE, Mukah, Tanjung Manis hingga ke utara Sarawak,” ujarnya

Turut termasuk adalah usaha pelbagai yang dibuat oleh agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan sebagainya dalam menghebahkan kepada orang ramai mengenai peluang pekerjaan di negeri ini.

“Saya dimaklumkan awal bahawa forum ini diadakan di tempat terbuka seperti di gedung beli-belah, ini membolehkan semua orang daripada pelbagai peringkat usia datang melihat forum berlangsung,” ujarnya ketika dihubungi oleh Suara Sarawak di sini, semalam.

Kata Idris, pada Jumaat lepas ROSE memaklumkannya bahawa Andrew juga bersetuju untuk berforum isu peluang peluang pekerjaan Sarawak.

“Kita dengan MTUC boleh duduk bersama dan berforum dalam semangat terbaik dalam semangat kekeluargaan sebagai rakyat Sarawak,” katanya.