Apakah makna Malaysia Baharu khususnya kepada 2.7 juta rakyat Sarawak?  Adakah masa depannya semakin cerah atau kian malap sejak Pakatan harapan (PH) mengambil alih pemerintahan pada 10 Mei lalu?

Sesudah lebih daripada setengah abad berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), tentu tidak mudah untuk Sarawak berdepan dengan situasi baharu itu.

Meskipun kerajaan Sarawak menzahirkan pendirian untuk bersikap mesra kerajaan persekutuan, persoalan utama adalah, bagaimana pula pendirian kerajaan persekutuan di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Sarawak?

Untuk merealisasikan aspirasi dan menyelesaikan masalah rakyat memerlukan kerjasama dan komitmen jitu kedua-dua pihak. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Untuk itu, pemimpin terutama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kerajaan PH perlu dilihat tidak mengabaikan Sarawak, dengan kerap turun ke akar umbi di negeri berkenaan.

Setidak-tidaknya, Datuk Seri Najib Razak telah mengunjungi Sarawak lebih 60 kali dalam tempoh menjadi Perdana Menteri.

Sarawak dan juga Sabah menaruh harapan tinggi kepada Kerajaan Persekutuan di bawah PH untuk menyelesaikan masalah dan tuntutan mereka berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perjanjian 20-Perkara, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan  (IGC), Perlembagaan Malaysia, serta janji dan jaminan semasa Penubuhan Malaysia.

Setakat ini, rakyat di Sarawak berasa kecewa, malah ada yang marah dengan tindak-tanduk kerajaan persekutuan.

Adakah mereka perlu dipersalahkan? Perhatikan bagaimana kerajaan PH menangani isu royalti minyak? Dalam manifesto dengan jelas dinyatakan janji royalti minyak 20 peratus.

Tetapi selepas berkuasa dikatakan 20 peratus berdasarkan keuntungan. Bukankah ini seolah-olah cuba memperdaya rakyat dan pengundi?

Kalau betul berdasarkan keuntungan, mengapa tidak dinyatakan sedemikian dalam janji manifesto awal-awal lagi?

Yang didambakan rakyat Sarawak sekarang ialah meskipun berada di pihak pembangkang, mereka tidak harus dilayan sebagai pembangkang sebagaimana kerajaan BN melayan Selangor, Pulau Pinang atau Kelantan dahulu.

Bukankah ini Malaysia Baharu? Bukankah Sarawak sebahagian daripada Malaysia? Tanpa Sarawak dan juga Sabah, tentu tidak ada Malaysia.

Pemimpin PH tidak harus lupa akan janji pemimpin Malaya ketika memujuk pemimpin dan 700,000 rakyat Sarawak menjelang pembentukan Malaysia pada 1963.

Rakyat Sarawak dijanjikan untuk diberi pembangunan sama taraf dengan Malaya.

Belek balik segala dokumen sejarah dan helaian akhbar untuk memahami janji dan aspirasi berkenaan.

Sarawak dan Sabah  seharusnya dibenarkan untuk melaksanakan kuasa autonomi penuhnya sebagai rakan kongsi sama taraf dalam Persekutuan Malaysia.

Utamakan dan pesatkan pembangunan  di negeri terbabit bagi mencapai pembangunan sama taraf yang berada di Malaya supaya rakyat  Sarawak dan Sabah dapat menikmatinya seperti rakyat di Semenanjung.

Penyediaan kemudahan prasarana  yang berkualiti dan lengkap merupakan asas kepada usaha negara untuk mencapai status negara yang maju.

Tidak ada banyak maknanya jika negara didakwa sudah muncul sebagai negara maju jika masih ada rakyat di pedalaman dan pesisiran di Sarawak yang miskin, terpinggir dan tidak diikutisertakan dalam arus perdana pembangunan.

Masalah ini tentu dapati ditangani jika janji PH dalam manifestonya untuk menyalurkan sehingga 30 peratus daripada peruntukan belanjawan pembangunan setiap tahun dikhususkan untuk Sabah dan Sarawak.

Tempoh lima tahun ialah tempoh untuk mengotakan janji. Jangan pula kata janji bukan Bible atau bukan diukir di atas batu. Bagi rakyat, janji tetap janji, maka perlu ditunaikan.

Hakikatnya, apabila diperincikan, terdapat 31 janji kesemuanya, meliputi pelbagai bidang, yang perlu diselesaikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Yang paling menarik ialah janji untuk mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan dengan gaji RM2,500 dalam tempoh lima tahun. Pastikan semua itu dapat ditunaikan.

Rakyat Sarawak dan Sabah tidak harus dibiarkan berputih mata, apatah lagi berasa dipinggirkan atau dilayan sebagai rakyat kelas kedua.

Ini berbahaya untuk masa depan Malaysia dan pembinaan sebuah negara bangsa, serta integrasi nasional.

Malaysia Baharu perlu berpegang kepada dasar keterangkuman dan kesaksamaan untuk rakyat dan negeri.