KUCHING: Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Cobbold John Lusoi, 57, meninggal dunia di Kuala Lumpur jam 7 pagi tadi.

Anak saudaranya, Robert Dan ketika dihubungi mengesahkan pemergian Cobbold yang kini berada di Kuala Lumpur.

“Mendiang menghadapi komplikasi jantung yang sebelum ini pernah dimasukkan ke Institusi Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) bulan lalu,” katanya dihubungi sebentar tadi.

Bapa saudaranya dipercayai ke Kuala Lumpur untuk melawat isterinya yang tinggal di sana sambil bercuti.

Kini proses membawa mayatnya kembali ke Kuching sedang diusahakan.

Semasa hayatnya, mendiang salah seorang aktivis yang aktif memperjuangkan isu tanah NCR dan pernah menjadi calon untuk kerusi Parlimen Sri Aman.

Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Texas, United State of America (USA) ini mempunyai pengalaman lebih daripada 26 tahun sebagai seorang aktivis dan pemergiannya satu kehilangan besar buat PBDS.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan anak perempuannya.